Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan
Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang
bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan
negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya
terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian,
psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua
ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem
kerajaan,mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa,
serta juga keyakinan.
Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan
ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir
Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:
1.
Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang
dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi
di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya
secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai
kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
2.
Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju,
dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan
apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat
Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat
sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh
rakyat negara lain.
3.
Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang
matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai
persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada
beberapa banyak negara membangun.
4.
Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan
beretika,
dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan
didukung oleh nilai etika paling tinggi.
5.
Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia
pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada
masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
6.
Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang
mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja
menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan
teknologi masa depan.
7.
Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi,
iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri,
dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan
tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
8.
Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.
Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara
adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat
dalam perkembangan ekonomi.
9.
Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik,
giat dan kental.
Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak
semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang
akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan
khusus pada masa berkenaan.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAsalamualaikum saya mohon izin untuk copy buat tugasan saya.
ReplyDelete